Recent Posts

Search This Blog

Tuesday 30 December 2014

Pindah Rumah Hujung Tahun 2014


ASSALAMU'ALAIKUM

Dua bulan sebelum, tuan rumah sewa ada WhatsApp, informed, sewa tahun baru 2015 akan dinaikkan. Bukan naikkan RM50-RM100 ye tapi lebih dari tu.
Aku baca pun terus "hmmm..." 
Dalam kepala, apa aku nak buat nih? Sewa sekarang pun, aku rasa cukup-cukup ja makan kami anak beranak. Kalau dinaikkan, macam mana gayanya?

Ajak encik suami berbincang. 
Keputusan yang diambil, kami perlu berpindah ke rumah yang lebih rendah sewanya.

Operasi mencari menemui kebuntuan, bila dicampur kos minyak dan tol lagi, lebih kurang sama dengan stay menyewa di rumah asal. Hmmmm...akhirnya kami ambil keputusan, kita berpindah sajalah ke rumah Mak. Tapi haruslah mintak restu Mak dulu. Kalau Mak on, Alhamdulillah. Seperti yang diharapkan, Mak on saja. Lagi dia suka kami duduk sendiri rumah tu dari disewakan sebab dekat dengan Along aku di blok sebelah ja pun. Hehe.

Rumah Mak aku tu disewakan kepada orang. Rumah flat kos rendah biasa ja. Alhamdulillah syukurlah ada jugak tempat kami nak berteduh. Terpaksalah call Akak yang menyewa tu bagi tahu yang kami nak ambik semula rumah tu. Tak berniat nak menghalau tapi kami pun terpaksa.

Alhamdulillah Allah permudahkan urusan, walaupun ada juga dugaannya nak selesai dengan penyewa tu.

Orang bagi tip kemas dan packing barang 2 bulan atau sebulan sebelum pindah.
Tapi macam kami ni, lagi seminggu nak pindah baru kelam kabut mengemas. Jadi, don't try this at home ye. Hahaha.

Nak pindah rumah semestinya memerlukan lori ye. Kalau tak, macam mana nak pindahkan barang-barang macam meja makan, mesin basuh bagai yang besar-besar tu.

Operasi mencari lori pula. Semuanya mahal zaman sekarang ni kan. Penyudahnya, kami sewa lori tanpa pemandu dan mandur. Mana dapat?

Di Kajang Prima, ada Facebooknya nama Lori Pandu Sendiri. Sesuai untuk yang nak berpindah ke area Bangi, Kajang dan kawasan sewaktu dengannya. Boleh search ye atau boleh hubungi terus ke talian 1 300 80 7807

Harga?
Ok, harga aku cerita ni untuk tahun ni ye, masa ke depan aku tak pastilah.
Sewa lori 1 tan sehari RM250, tapi kalau nak sewa ikut jam pun boleh.
5 jam RM150.
Semestinya perlu deposit. Deposit ikut harga sewaan lori ye.

Sabtu lepas, hari kami mula memindahkan barang besar-besar dan berat selepas usai basuh dan bersihkan rumah baru kami. 
Hari sebelum, dah siap-siap lap mana yang berhabuk dan letakkan di satu tempat supaya senang besoknya proses mengangkat pindahkan ke dalam lori.

TIP : Silalah lap semua barang-barang anda terlebih dahulu, nyah habuk segala supaya tukang mengangkat nantipun tak keberatan dengan habuk-habuk tebal 3 inci tu ye. Hehehe...

Setakat ni hampir 90% proses pemindahan selesai. Tinggal baju dan beberapa barang kecil-kecil je lagi. Tak boleh nak pindahkan sekaligus sebab ada budak kecik yang suka tolong 'mengemas' melambatkan lagi proses. Hahaha.

TIP : Kalau ada anak kecik, dinasihatkan tinggalkanlah anak anda bersama Mak/Mak Mertua anda atau hantarlah ke rumah pengasuh atau sesiapa saja yang sudi tolong tengok-tengokkan kejap sementara proses pemindahan selesai. Haha...

Tapi dalam dok pindah ni, teringat juga ye mangsa banjir, saudara-saudara kita. Kami yang pindah rumah dalam hujan ni pun dah terasa terduga, inikan mereka yang mengharung banjir seminggu lebih dah.

Semoga dipermudahkan semuanya. Diharap tiada lagi yang terkorban. Sama-samalah kita berdoa moga segala musibah yang sedang menimpa ini, Allah turunkan rahmat permudahkan segala. 
InshaaAllah. Amin.




Tuesday 23 December 2014

Kawan Kaunselor


ASSALAMU'ALAIKUM

Ni cerita semalam. Tapi tak sempat nak post entri ni . Memandangkan semalam pun semangat suam-suam kuku ja naik kerja. Hehehe.

Kawan baik aku, Asma, kenal sejak dari tingkatan 1, tegur aku di Skype.

"Assalam Fara. Ayah hang dah sihat?"

"Wa'alaikumussalam. Alhamdulillah luka di kaki tu beransur OK, cuma badan dia ja masih lemah."

"Alhamdulillah"

"Mungkin ambik masa lama sikit. Takpalah InshaaAllah mudah-mudahan Abah aku makin OK.
Dia seolah-olah hilang semangat ja Asma. Banyak sangat dalam kepala dia fikir sama kot."

"Hmmm yelah kan...bila diri kita sakit macam tu lah rasa. Staf aku, kaki dia kena potong sebab kencing manis. Dah berbulan juga. Tapi minggu lepas time nak balik dia mai jumpa aku. Dia kata, saya rasa saya perlu bercakap dengan Puan Asma."

"Hmmm itulah...aku rasa dia hilang semangat...dia fikir dia sakit...teruji dengan dugaan Tuhan yang sekaligus datang menimpa dia. Ibarat dia sendiri tak tau larat ke tidak nak tempuh semua tu. Fikirkan keadaan Mak aku lagi yang dah tak berapa kuat. Fikirkan Maktok aku lagi yang dah uzur."

"Ayah hang tak kena potong kaki kan?"

"Alhamdulillah setakat ni dak. Tapi doktor dah pesan jaga elok-elok, jangan terkena jangkitan lagi. Kalau terkena jangkitan kuman lagi, kemungkinan besar kena jugak potong kaki dia. Sebab dah tak ada ruang dah nak korek buang daging mereput, tulang pun dah mereput."

"Allah..."

"Sebelum ni pun Abah aku jenuh jaga, cuci hari-hari juga. Tapi kuasa Tuhan kan."

"Kalau jadi kat sesiapapun akan hilang semangat Fara"

"Aa betoi. Aku sendiri pun tak tau macam mana nak rangkul semangat aku sendiri apatah lagi nak rangkul balik semangat Abah aku"

"Dia pun macam kita, pernah muda, tak pernah terfikir benda macam ni akan berlaku ke atas diri dia. Kita tak pernah sedetik pun bersedia dengan semua keadaan tu. Letak diri kita dalam kedudukan dia. Rasa sakitnya dia, rasa rendah diri, rasa useless, rasa hilang kebebasan."

"Dia cakap dekat aku, kalau aku dan Along tak ada, susah dia. Mak aku dah tak kuat katanya.
Mak nak jaga Maktok lagi. Lepas tu dia nangis."

"Tu maksudnya dia rasa hilang security"

"Hmmm...aku nak cakap SABARLAH ABAH pun macam tak layak ja untuk aku keluarkan ayat-ayat gitu sebab aku rasa dia lebih kenal erti sabar tu lebih dari aku."

"Cakap kat Abah hang, kita usaha apa yang patut sehabis boleh. Tak perlu suruh dia bersabar, sebab memang dia tengah bersabar."

"Hmm itulah, aku pun dah tak mampu nak cakap apa dah masa tu. Diam ja lah. Aku nampak kesedihan dia tu, penderitaan yang dia sedang rasa tu, tapi aku sendiripun tak tau nak luahkan macam mana."

"Betoi Fara, tapi bila dia luahkan tak mampu tu, hang kena bagi dia satu  cahaya/sinar untuk dia. Bukan harapan yang kita sendiri tak dapat tunaikan. Bagi kenyataan yang boleh diusahakan. Sedihnya tengok ayah kita nangis kan? Alamak aku lak terasa sebak nak nangis nih...."

Berakhir perbualan kami di situ. Ni lah natijahnya kalau dah berkawan dengan kaunselor ye. Hehehe.
Penuh emosi bila bercakap.
Tapi ada betulnya, ada logiknya di situ.

Saja share dekat sini, mudah-mudahan sedikit sebanyak kita boleh praktikkan dalam kehidupan harian kita apabila kita sedang menghadapi masalah dan situasi yang sebegini. Huhuhu.

InshaaAllah

Monday 22 December 2014

Episod Abah Lagi




ASSALAMU'ALAIKUM 

Seminggu lepas aku balik kampung.
Balik kampung secara tergesa-gesa selepas dapat tau dari Mak yang Abah akan dimasukkan ke wad pada hari Jumaat 12 Disember 2014.

Khamis malam 11 Disember 2014 terus kami bertolak ke Perlis sejurus selepas encik suami tiba dari Kuantan, Pahang.

Dari tengah terus ke utara semenanjung pula encik suami aku malam tu.

 JUMAAT (12 DISEMBER 2014) 

Turut serta bersama Mak bawa Abah ke hospital besar Kangar ke unit kecemasan.
Diperiksa, diminta tunggu giliran, dan diperiksa lagi, berakhir dengan keputusan doktor untuk dimasukkan ke wad sebab kata doktor, bekas luka di tapak kaki Abah terkena jangkitan kuman.

Dari pagi sampailah ke petang urusan kemasukan wad, Abah akhirnya ditempatkan di Wad Kelas 3.
Faham-faham sajalah keadaan wad di hospital kerajaan, Kelas 3 pula tu.
Tak apa, redha, sementara tunggu kekosongan di Wad Kelas 1 yang lebih selesa.

SABTU (13 DISEMBER 2014)

Masih di Wad Kelas 3, Abah diminta berpuasa dari jam 6 pagi sebagai persediaan untuk pembedahan di tapak kakinya yang dijadualkan pada hari tersebut.

Hampir ke malam masih belum ada berita dari unit operation theater (OT). Kami dah kurang sabar jadinya sebab Abah kelihatan sangat lemah. Sudahlah berpuasa dari awal pagi lagi.

Mak terus ke kaunter hadapan wad, menanyakan misi di situ. Masih jawapan yang sama barangkali Mak berpatah balik ke katil Abah.
Berulang alik lagi ke kaunter hadapan wad.
Dah terlalu lemah tengok Abah kata Mak, barulah misi bertugas bergegas bersama doktor, periksa Abah.

Bacaan ECG kurang normal kata doktor. ECG digunakan untuk membaca gerak nadi jantung pesakit barangkali. Kurang arif aku dengan peralatan hospital.

Bawak ke malam barulah Abah ditolak masuk ke OT.
Masa tu aku di rumah. Pelawat tidak dibenarkan stay di hospital melebihi waktu melawat.

Mak call bagi tahu yang pembedahan Abah berisiko tinggi sebab kuman dah sampai ke jantung Abah. Bimbang kalau Abah terkena serangan jantung ketika pembedahan, sangatlah bahaya kata doktor. 

Mak minta sama-samalah kita bacakan Abah surah Al-Kahfi. Mak dan Along baca di hospital, kami di rumah. Mendoakan yang terbaik untuk Abah.

Allah...
Bermacam-macam perasaan dah masa tu...
Namun, Alhamdulillah pembedahan selesai dengan jayanya.

************************

Hari-hari kami berulang ke hospital bergilir-gilir bersama kakak ipar dan anak menakan aku.
Along berjaga malam, Mak berjaga siang.
Mak berjaga malam, Along berjaga siang.
Aku?
Aku berjaga waktu melawat sahaja memandangkan si kecik tu memang susah berenggang dengan Mamanya. 
Sampailah ke hari Abah dipindahkan ke Wad Kelas 1, Alhamdulillah, lebih selesa di situ.
Hanya ada 4 katil sahaja dalam 1 wad berbanding Kelas 3 sebelum tu.

Sekali lagi syukur, luka di tapak kaki Abah beransur pulih, tapi kandungan gula dalam darah Abah pula tak stabil lagi sepenuhnya.

Sampailah ke hari Jumaat 19 Disember 2014, barulah Abah dibenarkan discharge ward.
Bersambung episod di rumah pula.
Apa-apapun lebih selesa di rumah sendiri kan?

Walaupun Abah masih nampak lemah, InshaaAllah moga Abah beransur pulih dan kuat semangat semula. Kembali ceria macam sebelum-sebelum ni.

Sama-samalah kita doakan Abah dan Mak kita semua sihat sentiasa.
Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Dah telefon Abah atau Mak di kampung?
Jom kita dail bertanya khabar!
InshaaAllah




Daisypath Friendship tickers