Recent Posts

Search This Blog

Wednesday 6 November 2013

Resipi Bihun Goreng Pedas


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Hari ni sama-sama kita mencuci mata baca resipi yang aku reka ikut anak tekak lidah yang kadang-kadangpun ada masalah juga tapi sekadar mengisi masa lapang dan berkongsi kepada sesiapa yang teringin ubah angin makan makanan ikut resipi orang lain pula. Kotlah dah jemu makan masakan resipi sendiri ye tak? (Aku la tu mudah sangat jemu dengan masakan sendiri, maklumlah bukannya chef dapur yang kreatif mereka macam-macam mak nenek resipi ~ sedar diri! hahaha)

Bahan-bahannya:
  1. 1/4 bawang besar - dihiris (aku tak suka guna bawang merah yang kecil tu...hehe)
  2. 5 ulas bawang putih - diketuk, dihiris
  3. 1 biji tomato - dihiris atau didadu
  4. 1/2 batang lobak merah - diparut atau dihiris
  5. sedikit sawi hijau - dipotong kemas
  6. garam secukup rasa
  7. gula secukup rasa
  8. serbuk pati ayam Knorr secukup rasa
  9. Sedikit minyak untuk menumis
  10. 2 sudu besar sos tomato
  11. 1 sudu besar sos tiram
  12. 1 paket bihun
  13. hirisan isi ayam
  14. 3 sudu besar kicap lemak manis Jalen
  15. 3 sudu besar cili mesin (aku mesinkan cili kering yang telah direbus bersama sedikit minyak masak)

Cara-caranya:
  1. Tuangkan sedikit minyak untuk menumis ke dalam kuali. Tumiskan hirisan bawang besar dan bawang putih sampai naik bau. Sebelum garing, masukkan hirisan ayam, tumis sampai ayam masak.
  2. Masukkan cili mesin, tumis sampai naik minyak dan kemudian teruskan dengan menumis sayur (lobak merah, batang sawi, tomato) sehingga empuk. (TOMATO, aku masukkan awal sebab memang nak ia hancur bersama cili mesin. Tujuan untuk menambahkan rasa masam tomato tu ke dalam rencah selain dari sos tomato itu sendiri)
  3. Sementara tunggu sayur empuk, boleh masukkan gula,garam,serbuk pati ayam secukup rasa. Gaul rata dan masukkan pula sos tiram dan sos tomato.
  4. Setelah sebati dan cukup rasa, masukkan bihun yang telah direndam. Gaul rata bersama daun sawi. Daun sawi dimasukkan kemudian kerana untuk mengelakkan ia terlalu layu.
  5. Apabila bihun goreng anda hampir masak masukkan 3 sudu besar kicap lemak manis Jalen (aku guna kicap lemak manis sebab sos tiram dan kuantiti garam tadi sudah cukup memberi rasa masin dan akan memberi rasa lemak dan manis ke dalam bihun goreng selain daripada tambahan gula. Tambahan gula hanyalah untuk mengimbangi rasa pedas cili diawal masak tadi). Bergantung kepada individu, sekiranya tidak mahu terlalu gelap warnanya kurangkan sedikit kuantiti kicap anda.
  6. Gaul rata sampai masak dan bolehlah dihidangkan dimakan panas-panas seperti di gambar hiasan.

Selamat mencuba!!

2 comments:

What's on your mind?

Daisypath Friendship tickers